BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Info semasa

SALAM UKHWAH MAHABBAH FILLAH

Thursday, October 29, 2009

WarKah Buat YanG TeRsaYanG

"Indahnya kalammu wanita solehah yang berjuang disisi mujahid soleh... ..
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”
Ku mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini.
Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..” Wanita solehah idaman mujahid soleh yang malunya menjadi perisai dirinya yang zikirnya menjadi penawar dirinya tak gentar di acah mehnah duniawi kerana dia rindukan wangian syurgawi dia berpegang pada janji yang terpatri di lubuk hati... . Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan... hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ... "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (al-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa a.s sama seperti mu”....maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri... ”
(Ali Imran : 159-160)
Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung.
Pendirianku... pernikahanku akan ku jadikan medan pencarian ilmu agama sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini. Aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, suamiku dan anak-anak untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih) Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan. “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An-Nisaa’ : 1)

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku. Jadikanlah suatu pernikahan itu sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.
Aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtanggaku dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

"Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu.::.


“Semoga warkah ini menjadi renungan dan panduan bersama
dalam mengharungi rumahtangga bahagia
Pada masa akan datang”
*Semoga sentiasa dalam redha dan rahmat Illahi*

*Petikan Dari Sahabatku*

Sunday, October 25, 2009

PerJuaNgan DiteRuSkaN

Melangkah ke minggu ini, semua pelajar pasti merasa debarannya. Exam oh Exam...dah masuk minggu perjuangan. Berjuang dan bertarung dengan soalan exam yang menjadi kewajipan buat kita sebagai mahasiswa. Setelah menghabiskan satu semester untuk study, masa ini lah yang amat mendebarkan. Sememangnya belajar bukan untuk exam, tetapi belajar untuk mencari ilmu dan pengetahuan. Seterusnya untuk disampaikan kepada orang lain. Exam hanyalah memenuhi syarat...Niat setiap kita jua lah nilaian keikhlasan di sisi Allah SWT.

Minggu study hanya sekejap sangat dirasakan. Persediaan untuk ke medan peperangan belum pun mampu untuk berhadapan dengan bermacam-macam soalan yang sukar untuk diduga. Lain pula dugaan dan cabaran yang berupa gangguan di sekitar kita, dengan keseronokan melayan rakan di ruang sembang, melayari internet untuk menjelajah isu seluruh dunia. Lain lagi dengan Facebook, Myspace, Friendster dan macam-macam lagi. Aku tidak ketinggalan dihanyutkan dengan benda-benda sebegini. Kadang kala ia terlalu melalaikan bila tidak terkawal. Namun melawan segala kehendak nafsu dan keseronokan perlukan mujahadah yang tinggi. Geram juga dengan jari-jemari ini menyentuh laptop yang sememangnya destinasinya di atas meja study. Bila membelek buku yang setebal hampir 900 page, itulah buku Pengenalan Teknologi Maklumat sepenuhnya memakan masa untuk memahami Bahasa Inggeris yang langsung satu perkataan pun tak ada bahasa Melayu. Mula membaca dengan khusyuk tapi mata pula tetiba mengantuk. Alahai....dah datang pula satu penyakit. Cepat-cepat ku alihkan laptop di atas katil, segala nota dan buku-buku ku susun penuh sampai tidak ada ruang untuk aku mengambil peluang untuk merebahkan diri. Biar katil itu milik buku-buku. Padan sikit muka aku ini..

Sedikit kelegaan dirasakan, senang hati bila ketenangan dapat dirasai bila menatap dan menghadap bacaanku. Macam-macam dugaan datang bila kita hendak berusaha mencapai sesuatu yang menjadi impian. Beberapa hari lagi, bukan hari tapi kira jam..Ya Allah..jam dan masa semakin kurang. Tersentak dari lamunan, lena yang panjang tak akan mendatangkan hasil yang diharapkan. Lemah juga untuk mengingati segala fakta-fakta..minda dah lama tak diasah. Terpaksa mulakan dari bawah. Tapi kepayahan itu sangat-sangat dirasakan. satu lagi penyakit yang paling bahaya, panyakit MALAS. Kemalasan inilah membunuh impian dan harapan..
hish...geram sangat bila ia menguasai diri. Untuk bangun melawan segalanya perlu memotivasikan diri sendiri. Muhasabah balik diri ini...perlukah kita rebah pada kemalasan, sedangkan kemalasan itu tidak mendatangkan apa-apa hasil pun. Bahkan Islam sendiri menganjurkan kepada kita agar berusaha dan bersikap rajin. Tidak membiarkan diri lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Peringatan itu terdetik dalam hati dan jiwa.. Lemahnya aku sebagai hambaNya.. perjuangan belum pun bermula, aku pula mula tewas dengan cabaran yang datang sebelum melepasi medan juang.

Aku bersama sahabat-sahabat seperjuangan, seketika lagi kita berada di medan pertempuran. Segalanya berada ditangan kita. Memulakan langkah dengan yakin dan penuh kekuatan. Jangan rebah di medan juang ini, selagi panji berkibar teguh di tangan kita. Teruskan perjuangan walau kita terpaksa melangkah dengan payah, merangkak dan bertatih untuk mencapai kemenangan itu. Kemenangan yang menjanjikan impaian hati masing-masing. Semoga kita mampu mencapainya. Usaha dan doa telah kita hamparkan, tawakal pada DIA kita serahkan segalanya. Mudah-mudahan segalanya berhasil. Kita akan tetap teruskan perjuangan ini...Insyaallah ke medan Jaya.. Amen..


"Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kami kekuatan jihad untuk rajin berusaha membangunkan agama bangsa dan negara, jadikanlah kami ummat yang cemerlang dimata dunia dengan kekuatan ekonomi, akhlak dan teknologi, agar kami dapat memperkukuhkan pembangunan negara dan mempertahankan maruah kemerdekaan yang engkau anugerahkan kepada kami"

Sunday, October 18, 2009

PeRjaLanaN Yang MenYakiTkan PanDanGan MaTa


Perjalananku ke KL pada hari orang India menyambut Deepavali begitu jauh dirasakan. Aku menaiki train dari stesyen KTM Nilai ke stesyen KTM Bank Negara. Sempat juga melelapkan mata semasa dalam train. Keadaan sesak dan berhimpit-himpit membuatkan kepala jadi pening. Aku tidak ditemani siapa-siapa, hanya seorang diri mengatur langkah untuk berjumpa dengan Mak saudara ku. Dengan tujuan ingin menghantar barang dan mengambil kiriman kuih raya dari kakak yang datang sekejap ke KL. Gembira juga hati walaupun tak dapat beraya di Sabah tapi dapat juga merasa kuih raya yang diterbangkan khas dari kampung dan kakak buatkan khas untuk ku. Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan kami bertemu di SOGO. Hanya sekejap sahaja, sempat bersembang dengan mak saudara aku terus melangkah pergi untuk balik ke UKM. Tidak ada tujuan lain, malas juga nak berjalan seorang diri.

Aku terus menunggu ketibaan train ke Seremban, ramai juga orang yang menunggu..mungkin sebab perayaan Deepavali dan kebetulan hujung minggu. Bila train sampai, aku terus masuk bersama-sama kumpulan yang lain. Terpaksalah berhimpit-himpit dengan orang lain bila musim-musim cuti begini sememangnya orang ramai yang keluar ke bandar dan ke destinasi masing-masing. Alhamdulillah, dapat juga duduk bila ada ruang kerusi yang kosong. Aku duduk disebelah beberapa orang gadis India yang berpakaian sari. Cantik sungguh sari dan hiasan inai di tangan mereka. Teringin nak bertanya tetapi aku tidak ingin mengganggu perbualan mereka yang dari tadi begitu rancak, aku sendiri pun tidak memahaminya, hanya menjadi pendengar setia.


Bila train berhenti di stesyen Kuala Lumpur, masuklah sekumpulan anak remaja bersama pasangan masing-masing. Aku hanya melihat dari jauh gelagat mereka. Mula-mula mereka berdiri hampir dengan pintu, memandangkan orang lain nak masuk, mereka berpindah tempat betul-betul di hadapan ku. Sambil berdiri, sempat lagi berkelakuan tak senonoh. Bergelak ketawa dan berpeluk-pelukan. Aduh!!! Geram betul..dalam hati ni, kenapalah adegan ni berlaku depan mata. Sungguh menyakitkan hati, apalagi mata yang memandang ni. Sensitif sangat bila tengok benda-benda macam ni. Sejak akhir ini, aku sangat dan amat-amat sensitif dengan hal-hal sebegini. Tambah pula berlaku depan mata, diam bukan bermakna suka tapi selemah-lemah iman tidak membenarkan dalam hati atau tidak redha dengan perbuatan yang mengundang kemungkaran. Kemarahan hati yang tidak mampu dikawal lagi, dengan beraninya aku mengeluarkan kamera dari dalam beg. Di depan anak remaja itu jugalah aku memasang bateri kamera dan dengan selamba aku menangkap gambar mereka. Terkejut pun ada, muka gembira pun terpancar di wajah pasangan remaja itu.Aku berbuat demikian, sekurang-kurangnya mereka sedar. Mungkin dalam keadaan dah seronok mereka dah tak sedar diperhatikan Yang Maha Melihat dan Malaikat kiri kanan yang mencatat segala perbuatan manusia. Tapi sedarlah ada manusia sekeliling yang memerhati. Aku tak tau kuasa apa yang tiba-tiba muncul dalam diri. Kalau orang lain mungkin dah tak terfikirpun nak tangkap-tangkap gambar. Kalaulah remaja itu samseng, dah lama aku dibelasah. Bila melihat perlakuan yang tak senonoh itu, mungkin kalau orang lain yang berkelakuan seperti itu, hairan tu kurang sikit tapi yang amat memalukan perempuan tu siap bertudung lagi.
Zaman sekarang ni...benda-benda macam ni dah tak diherankan lagi, bilamana perkara seperti begini biasa dilihat di mana-mana. Tapi sedar lah... imej yang dibawa adalah Islam. Orang India dan Cina yag duduk di sebelah aku hanya melihat perlakuan dan adegan pasangan remaja itu. Tak tahu lah apa yang difikirkan. Aku hanya tunduk, malu nak mendongak kerana di hadapan aku remaja Melayu, Islam sesuka hati menonjolkan perlakuan seperti itu.

Dalam hati hanya berdoa..mohon Allah tunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Semoga aku juga sentiasa dalam peliharaanNya. Sampai di stesyen MidValley, pasangan remaja itu keluar dan barulah rasa luas pandangan mata ini. Sepanjang perjalanan ke detinasi ku, aku hanya berfikir dan bermuhasabah. Istighfar dan berselawat...mohon dipermudahkan perjalananku yang berseorangan ketika itu... Alhamdulillah, aku sampai ke kolej kediamanku sebelum jam 2 petang.

Tuesday, October 6, 2009

IkTiBaR



Perlahan-lahan aku membelek Tafsir al-Quran, meneliti beberapa ayat al-Quran yang menarik hati untuk diketahui sebagai melihat betapa kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingan. Bukan menduga apa-apa mahupun membuat kesimpulan daripada apa yang terjadi di bumi bertuah “Padang” Indonesia. Tapi cukuplah ia sebagai peringatan buat kita!

Gerun bila setiap bait kalamullah dibaca yang begitu menusuk di kalbu.


“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat Yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya” (Surah al-Isra 17 : 16-17)

Dalam ayat yang lain juga dijelaskan bahawa firman Allah SWT : “Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). (Surah al-Isra 17 : 58)

Kehidupan di dunia ini terlalu indah. Seindah hamparan duniawi yang penuh dengan kenikmatan yang tidak terperi banyaknya. Kemahuan dan kehendak hati tidak dapat jua dipuaskan dengan apa yang ada. Mencari dan terus mencari. Ingin sahaja memiliki dunia ini sebagai ganti pada kepuasan, namun segalanya tidak dapat dicapai.

Sekilas memandang kurniaan Tuhan Yang Maha Esa, cukup menjawab segala yang ada di dunia ini adalah milikNya jua. Kita hanya hamba, bukan raja pada dunia. Sedar atau tidak, pengakhiran hidup ini adalah kembali jua kepada Nya. Antara menemui ajal ataupun menemui hari pengakhiran. Segalanya adalah ketentuan Allah. DIA jua yang mengatur kehidupan ini. Sebagaimana tugas kita telah ditaklifkan. Telah nyata perintah Allah ”Tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.



Apa yang berlaku segalanya adalah atas kuasa Allah SWT. Banyak bencana dan malapetaka yang berlaku, sebenarnya ia merupakan peringatan dari Allah agar manusia sedar dan tidak alpa. Dugaan yang datang menguji sejauhmana keimanan kita kepadaNya. Ada ketikanya azab itu ditimpakan di dunia lagi dan yang selebihnya mungkin di akhirat nanti. Hanya kita yang akan menilainya dan mengemudi perahu kehidupan ini. Kita juga yang memilih jalan di hadapan sana....

Saturday, October 3, 2009

Kemeriahan Hari Raya 2009


“Bila balik raya? Raya di mana? Ramai juga kengkawan yang bertanya, biasanya orang yang jauh akan ditanya dengan soalan yang sama. Apalagi duduk seberang Borneo di Semenanjung Malaysia ni tambahan pula berjauhan dengan keluarga.

“Raya tahun ni tak balik pun, first time tak balik raya. Insyaallah beraya di Kelantan” itu lah jawapan yang dirasakan menjawab soalan kawan-kawan.

“aik?? Raya tempat siapa? Ooo…nak jadi ore kelate yea..? sempat juga mengusik sahabat aku yang seorang ni.

Alhamdulillah, raya tahun ni penuh makna walaupun tak dapat beraya dengan family di kampung. Sangat bersyukur kerana dapat mempelajari sesuatu yang berbeza dengan suasana di tempat sendiri.

Perjalanan pada 28 Ramadhan itu merupakan perjalanan yang panjang bagi aku kerana untuk sampai ke negeri pantai timur itu memakan masa berjam-jam tambahan pula semua warga kota mula pulang ke desa masing-masing untuk menyambut raya yang hanya tinggal beberapa hari lagi. Walaupun mengambil masa yang lama untuk perjalanan kali ini yang sangat berbeza dengan perjalanan biasa ketika balik ke kampung ku di Sabah Bawah Bayu, namun kegembiraan di hati tetap terpancar. Tidak sabar rasanya memijakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan “Kota Serambih Mekah”. Sekian lama memasang impian ke kota itu tetapi dikesempatan yang singkat ini sudah cukup memberikan aku seribu kenangan dan pengalaman biarpun tidak sempat menjengkuk “Pasar Siti Khadijah”.

Hari raya disambut dengan seadanya, nak kata tak meriah tapi rasa meriah juga bila dapat berkunjung ke rumah sanak saudara bapa saudara ku. Kelihatan serombongan lengkap dengan pakaian raya yang kemerah-merahan kecuali aku yang tetap solo terselit juga diantara keluarga. Berbeza dengan yang lain tapi itu tidak menimbulkan masalah untuk aku menyesuaikan suasana raya di tempat orang. Berhari raya dengan seluruh rombongan keluarga menambahkan lagi hubungan rapat yang sedia terjalin. Begitu seronok dirasakan. Tapi terkenang juga kemeriahan raya di kampung sendiri. Hanya mendengar khabar dari jauh, sambutan raya di kampung cukup meriah walaupun aku tiada bersama.

Aku sempat beraya di Kelantan sampai hari raya pertama sahaja, hari raya ke-2 aku bersama mak sedara sefamily dah pun berangkat balik ke KL. Apabila beraya di tempat orang sememangnya rasa perbezaan tu tetap ada. Terheran pun ada juga terutama budaya memberi “Duit Raya” kepada kanak-kanak. Mungkin itu sudah menjadi budaya di tempat orang tetapi di tempat sendiri bukan lah suatu kewajipan dan kurang dibudayakan. Mungkin adapun tetapi amat berbeza dengan suasana ditempat orang terutama di Semenanjung Malaysia ini. Sepanjang berkunjung ke setiap rumah, aku melihat perkara ini menjadi satu kewajipan. Bila duit dihulur setiap kali ke rumah saudara mara. Begitu juga yang datang akan membalas dengan memberi duit raya kepada setiap anak-anak. Tidak lah dikatakan salah benda ni tapi hanya melihat perbezaan di tempat sendiri dengan tempat orang. Mungkin ini juga satu pengalaman baru bagi diri ini.

Sesaat terkenang juga suasana raya ditempat sendiri, baju sedondon tidaklah dimestikan. Itu terpulang dengan diri masing-masing. Kadang-kadang baju raya tahun lepas juga akan menjadi baju raya tahun ini dan mungkin tahun-tahun seterusnya. Tidak juga sibuk menyediakan duit raya. Seandainya adapun hanya sekadar yang termampu sahaja untuk anak-anak sedara sendiri. Melihat keluarga sendiri, menu dan hidangan menjadi kepentingan untuk dijamu kepada tetamu dan sanak-saudara yang datang dari jauh mahupun dekat. Mungkin juga raya sebelum-sebelum ni menjadi pengajaran bila makanan yang dihidangkan tidak mencukupi. Beginilah bila dah jadi keluarga besar. Malu juga mengenang keadaan itu sebab bagaikan sekampung yang datang tetapi sungguh menjadi kenangan terindah bila mana seluruh sanak saudara berkumpul bersama dan dapat saling kenal-mengenali serta merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Masa raya sebeginilah semua keluarga dapat berkumpul bersama. Itulah sebabnya hidangan dan juadah raya begitu menjadi yang penting dan utama. Takut pisang berbuah 2x lagi… Sedikit sebanyak menggambarkan perbezaan suasana raya ditempat sendiri dengan di tempat orang. Apapun segalanya menjadi kenangan terindah dalam hidup.

Buat Renungan Bersama

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya"
(Surah al-Isra: 16-17)