BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Info semasa

SALAM UKHWAH MAHABBAH FILLAH

Thursday, September 3, 2009

Kerja Siapa??


Ketika sedang asyik berbincang dengan rakan-rakan di meja dekat dengan dewan kuliah, tetiba kawan di sebelah menyapa bila melihat dua orang pelajar melalui depan mereka. Eh!! Beraninya pakai pakaian macam tu, tak apa kalau bukan student pengajian Islam..ni budak yang belajar hukum hakam pula tu. Semua yang berkumpul di situ menoleh ke arah pelajar perempuan berbaju kurung yang memakai tudung hanya atas paras dada. Sungguh menampakkan sekali.

Sahabat yang sejak tadi merenung dari jauh pula berkata “pelik juga…dah belajar hukum hakam ni, selamba jer.., aku ni bukanlah baik sangat tapi taklah suka tengok dan tak berkenan macam tu”

“Haa..siapa yang Dakwah tu kena bagi tarbiah sikit kat dorang tu.” Seorang kawan tu pula bersuara.

Kawan seorang pula menyahut “Laa…siapa yang Nampak kemungkaran, dial ah dulu yang kena tegur”

Seorang pula “ish..ish…nak tegur tapi aku pun lebih kurang juga, engkau la ambil dakwah..bagi tarbiah sikit”

“Kan baik letak sign board depan ni “Sila berpakaian sopan ke.., sila tutup aurat ke..whatever lah...yang penting nampaklah juga peringatan” kata seorang kawan.

Masing-masing meletakkan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran tu ke atas bahu yang layak. Apalagi yang ambil bidang dakwah. Semuanya menunding jari kepada yang ambil dakwah. Bagi yang ambil bidang Syariah, Usuluddin, Quran Sunnah dan lain-lain kos mengasingkan diri dari tanggungjawab tersebut. Tugas menegur dan memperbetulkan segala kemungkaran itu diletakkan kepada golongan pendakwah sahaja. Tetapi bukan lah semua berfikiran seperti itu. Cuma sesetengah orang berfikiran sedemikian.

Sebenarnya, Dakwah merupakan salah satu daripada kewajipan di dalam agama Islam yang sepatutnya tidak boleh dialpakan oleh setiap muslim. Ada tanggapan bahawa dakwah hanya perlu dimainkan oleh golongan tertentu sahaja daripada umat Islam. mereka meletakkan kewajipan dakwah ini kepada agamawan sahaja. Ulama, guru-guru agama sahaja yang dilihat sebagai berperanan dalam bidang ini. Manakala selain dari golongan itu seolah-olah terlepas daripada kewajipan ini. Sedangkan Islam telah mengangkat dakwah itu ke satu mercu yang amat tinggi yang perlu digapai oleh setiap Muslim yang peka terhadap permasalahan umat lalu dijanjikan dengan balasan yang sangat tinggi bagi mereka yang terlibat dengannya. Inilah juga tugas asasi bagi setiap rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di muka bumi ini dengan membawa ajaran Islam agar ia dipraktikkan dan dijadikan sebagai suatu cara hidup di semua peringkat kehidupan sama ada bagi individu, masyarakat, negara, malah seluruh ala mini sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Keperibadian Pendakwah

Kerja-kerja Islam terutamanya dalam bidang dakwah ini banyak bergantung kepada penampilan pendakwah itu sendiri. Kita akui bahawa kejayaan sesuatu dakwah adalah di dalam ketentuan Allah SWT, namun begitu kita perlu berusaha mengambil semaksimum mungkin segala sebab yang boleh membawa kepada kejayaan yang diimpikan. Kita sedia maklum bahawa dakwah itu terbahagi kepada dua iaitu dakwah bil-maqal (dengan perkataan/ucapan) dan dakwah bil-hal (dengan tindakan/ perbuatan). Dalam kedua-dua jenis dakwah ini kadang-kadang dakwah bil-hal lebih berkesan berbanding dakwah bil-maqal kerana sesetengah orang lebih tertarik kepada apa yang dibuat, bukan apa yang dicakap. Justeru itulah pendakwah yang Berjaya semestinyalah memiliki keperibadian Islam yang unggul.

Isu utama dalam keperibadian Islam yang perlu sentiasa diingati oleh para du’at ialah berjaga-jaga terhadap maksiat. Sikap berjaga-jaga terhadap maksiat perlulah mengatasi sikap berhati-hati mereka terhadap musuh mereka sendiri kerana maksiat adalah musuh tersembunyi yang akan menggagalkan usaha murni kita.

Justeru bagi membentuk keperibadian Islam ini, pendakwah perlu memastikan mereka mempunyai cirri-ciri berikut :

Pemikiran Islam

Pendakwah mesti mempunyai pemikiran Islam atau disebut sebagai Aqliah Islamiah. Maksudnya mereka mesti melihat segala sesuatu dari sudut pandangan Islam dan memutuskan sesuatu perkara juga berdasarkan kepada pandangan Islam. Islam mesti dilihat sebagai neraca bagi setiap isu dan penyelesai bagi setiap masalah.

Jiwa Islam

Apa yang dimaksudkan dengan jiwa Islam ialah hasil yang diperolehi daripada pemikiran Islam seseorang itu yang mempengaruhi perilakunya. Ini bermakna seseorang yang mempunyai pemikiran Islam, kecenderungannya dan naluri jiwanya juga akan terarah kepada kehendak ajaran Islam yang suci. Boleh juga kita sebutkan bahawa jiwa Islam ini adalah pelaksanaan nilai-nilai Islam berdasarkan kepada kerangka pemikiran Islam yang dimilikinya dan disampaikannya kepada golongan yang didakwahkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak melakukannya?

Jiwa Islam juga adalah sebagai bukti keimanan seseorang kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Iman itu bukanlah dengan hanya berangan-angan atau perhiasan (cara berpakaian), tetapi iman adalah sesuatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan oleh amalan”.

Sifat-sifat pendakwah

Memiliki sifat-sifat dan perkara-perkara asas yang wajib dimiliki oleh pendakwah, antaranya :
  • Niat yang ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalankan kerja dakwah.
  • Dakwah secara hikmah, nasihat yang baik dan berdebat dengan cara baik.
  • Mempunyai pengetahuan tentang masyarakat yang ingin disampaikan dakwah seperti ideologi mereka dan isu setempat.
  • Mempelajari Sirah Nabawiyyah dan ajaran Islam.
  • Menghafaz sebahagian ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuan sebagai dalil atau hujah terhadap apa yang diperkatakan.

Pendakwah perlu sedar bahawa kepetahan bicara lisan semata-mata bukan kekuatan utama dalam menentukan kejayaan sesuatu dakwah. Justeru itu gabungan ilmu, iman dan amal dalam menggerakkan mesej dakwah Islamiah ini amat dituntut bagi mencapai kejayaan gemilang.
Semoga dengan pemahaman mengenai kewajipan ini dapat diambil iktibar bersama dalam meneruskan usaha dakwah kita. Mudah-mudahan usaha yang sedikit diberkati Allah SWT hendaknya. Amiin...


0 comments:

Buat Renungan Bersama

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya"
(Surah al-Isra: 16-17)