BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Info semasa

SALAM UKHWAH MAHABBAH FILLAH

Friday, December 25, 2009

MenuJu HijRaH

Sekian lama tidak menulis...terdetik di hati sedikit rindu untuk menggerakkan pena maya. Alhamdulillah, di permulaan hijrah ini diberi kesempatan lagi untuk meneruskan kehidupan seterusnya dapat menikmati udara segar hamparan nikmat dari Allah swt. Ku syukuri anugerah yang tidak terperi ini.
Kehadiran Muharam 1431Hijrah datang menggantikan 1430Hijrah yang telah berlalu. Ada yang mengimbas kenangan lalu, menyimpan memori semalam sebagai kenangan terindah dalam diari kehidupan. Aku...masih di sini, merenung masa lalu dan apa yang akan berlaku di masa hadapan. Sering kali juga tertanya-tanya..adakah masih ada waktu setelah angka tahun makin berubah dan bertambah. Kekadang sedikit rasa takut dan gusar. Ala...untuk apa dirisaukan, umur masih muda..tahun 2020 pun belum sampai. Wawasan tu mesti dicapai. Ya...itulah impian negara ke arah sebuah negara yang lebih maju. Tapi..sedar atau tidak, detik masa tidak akan menunggu tercapainya wawasan itu bahkan impian kita belum tentu tercapai seumpama rasa hati yang ingin mencapai langit yang tinggi apalagi untuk mengenggam dunia.
Muhasabah di dasar hati, berfikir di minda..menongkah dunia fana...Wah! rupanya detik masa tetap berlalu. Siapa kita untuk melawan aturan Tuhan. Segalanya pasti telah ditentukan.. terpulang untuk kita mencorak acuan diri sendiri. Mahu atau tidak..atas diri kita jua. Masa tidak pernah menunggu kerana ia tetap berlalu..meninggalkan kita yang sering lalai dan alpa. Seperti insan kerdil ini.
Terbaca satu renungan dari Imam Ibnu Qayyim :
"Antara amal dan hati terdapat jarak dan jarak tersebut dipenuhi dengan banyaknya rintangan yang dapat mencegah sampainya amal ke relung hati sehingga terkadang seseorang melakukan banyak perbuatan baik, namun tidak sampai ke relung hatinya rasa cinta, rasa takut, pengharapan kepada Allah, zuhud terhadap dunia, cinta akhirat dan amal baiknya tersebut tidak pula dapat memberikan cahaya yang dapat membezakan antara kekasih Allah dengan musuh Allah, tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah dan tidak mempunyai kekuatan dalam menjalani urusannya. Jika pengaruh amal baiknya tersebut dapat sampai ke relung hatinya, maka akan bersinarlah hatinya, dia akan melihat kebenaran dan kebatilan dan dapat membezakan antara kekasih Allah dan musuhNya"
Mudah mengatakan senang tapi bukan senang untuk melaksanakannya. Begitulah banyak rintangan untuk kita sampai kepada suatu destinasi. Dari kemunduran kepada kemajuan, dari kebatilan kepada kebenaran, yang buruk kepada baik. Adapun perubahan kadang kala tidak seistiqamah kata yang terlafaz. Inilah manusia bernama al-insan..
Hati tidak seteguh para mujahid dan mujahidah, masih lemah dan memerlukan kekuatan. Seperti diri yang sentiasa mengharapkan panduan untuk menyelusuri kehidupan yang berliku. Sering kali lemah dan tersungkur pada nafsu yang merajai. Kekuatan dari Allah jua tapi kita sering mengharap pada manusia sedang diri sendiri mampu untuk memulakan langkah. Allah swt telahpun mengingatkan "“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka ” QS 13:11.
Hanya kita yang mampu berfikir dan bertindak untuk diri sendiri. Selain panduan dari sahabat yang sentiasa memberi pesan dan nasihat. Sesungguhnya masih ada yang sayang bilamana cukup diri menyayangi diri sendiri. Hijrah yang paling bermakna ketika kerelaan dan kesedaran hati untuk mengubah diri kepada yang lebih baik. Untuk menggapai impian perlu ada perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang berlandas pasti tiada menyusur dilema kerana matlamat yang satu telahpun terpandu. Semoga diberi hikmah dan pengajaran. Insyaallah...Selamat menuju Hijrah...Salam Maal hijRah 1431H.

Thursday, October 29, 2009

WarKah Buat YanG TeRsaYanG

"Indahnya kalammu wanita solehah yang berjuang disisi mujahid soleh... ..
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”
Ku mulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini.
Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..” Wanita solehah idaman mujahid soleh yang malunya menjadi perisai dirinya yang zikirnya menjadi penawar dirinya tak gentar di acah mehnah duniawi kerana dia rindukan wangian syurgawi dia berpegang pada janji yang terpatri di lubuk hati... . Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan... hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ... "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (al-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa a.s sama seperti mu”....maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri... ”
(Ali Imran : 159-160)
Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung.
Pendirianku... pernikahanku akan ku jadikan medan pencarian ilmu agama sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini. Aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, suamiku dan anak-anak untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih) Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan. “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An-Nisaa’ : 1)

" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku. Jadikanlah suatu pernikahan itu sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.
Aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtanggaku dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

"Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu.::.


“Semoga warkah ini menjadi renungan dan panduan bersama
dalam mengharungi rumahtangga bahagia
Pada masa akan datang”
*Semoga sentiasa dalam redha dan rahmat Illahi*

*Petikan Dari Sahabatku*

Sunday, October 25, 2009

PerJuaNgan DiteRuSkaN

Melangkah ke minggu ini, semua pelajar pasti merasa debarannya. Exam oh Exam...dah masuk minggu perjuangan. Berjuang dan bertarung dengan soalan exam yang menjadi kewajipan buat kita sebagai mahasiswa. Setelah menghabiskan satu semester untuk study, masa ini lah yang amat mendebarkan. Sememangnya belajar bukan untuk exam, tetapi belajar untuk mencari ilmu dan pengetahuan. Seterusnya untuk disampaikan kepada orang lain. Exam hanyalah memenuhi syarat...Niat setiap kita jua lah nilaian keikhlasan di sisi Allah SWT.

Minggu study hanya sekejap sangat dirasakan. Persediaan untuk ke medan peperangan belum pun mampu untuk berhadapan dengan bermacam-macam soalan yang sukar untuk diduga. Lain pula dugaan dan cabaran yang berupa gangguan di sekitar kita, dengan keseronokan melayan rakan di ruang sembang, melayari internet untuk menjelajah isu seluruh dunia. Lain lagi dengan Facebook, Myspace, Friendster dan macam-macam lagi. Aku tidak ketinggalan dihanyutkan dengan benda-benda sebegini. Kadang kala ia terlalu melalaikan bila tidak terkawal. Namun melawan segala kehendak nafsu dan keseronokan perlukan mujahadah yang tinggi. Geram juga dengan jari-jemari ini menyentuh laptop yang sememangnya destinasinya di atas meja study. Bila membelek buku yang setebal hampir 900 page, itulah buku Pengenalan Teknologi Maklumat sepenuhnya memakan masa untuk memahami Bahasa Inggeris yang langsung satu perkataan pun tak ada bahasa Melayu. Mula membaca dengan khusyuk tapi mata pula tetiba mengantuk. Alahai....dah datang pula satu penyakit. Cepat-cepat ku alihkan laptop di atas katil, segala nota dan buku-buku ku susun penuh sampai tidak ada ruang untuk aku mengambil peluang untuk merebahkan diri. Biar katil itu milik buku-buku. Padan sikit muka aku ini..

Sedikit kelegaan dirasakan, senang hati bila ketenangan dapat dirasai bila menatap dan menghadap bacaanku. Macam-macam dugaan datang bila kita hendak berusaha mencapai sesuatu yang menjadi impian. Beberapa hari lagi, bukan hari tapi kira jam..Ya Allah..jam dan masa semakin kurang. Tersentak dari lamunan, lena yang panjang tak akan mendatangkan hasil yang diharapkan. Lemah juga untuk mengingati segala fakta-fakta..minda dah lama tak diasah. Terpaksa mulakan dari bawah. Tapi kepayahan itu sangat-sangat dirasakan. satu lagi penyakit yang paling bahaya, panyakit MALAS. Kemalasan inilah membunuh impian dan harapan..
hish...geram sangat bila ia menguasai diri. Untuk bangun melawan segalanya perlu memotivasikan diri sendiri. Muhasabah balik diri ini...perlukah kita rebah pada kemalasan, sedangkan kemalasan itu tidak mendatangkan apa-apa hasil pun. Bahkan Islam sendiri menganjurkan kepada kita agar berusaha dan bersikap rajin. Tidak membiarkan diri lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Peringatan itu terdetik dalam hati dan jiwa.. Lemahnya aku sebagai hambaNya.. perjuangan belum pun bermula, aku pula mula tewas dengan cabaran yang datang sebelum melepasi medan juang.

Aku bersama sahabat-sahabat seperjuangan, seketika lagi kita berada di medan pertempuran. Segalanya berada ditangan kita. Memulakan langkah dengan yakin dan penuh kekuatan. Jangan rebah di medan juang ini, selagi panji berkibar teguh di tangan kita. Teruskan perjuangan walau kita terpaksa melangkah dengan payah, merangkak dan bertatih untuk mencapai kemenangan itu. Kemenangan yang menjanjikan impaian hati masing-masing. Semoga kita mampu mencapainya. Usaha dan doa telah kita hamparkan, tawakal pada DIA kita serahkan segalanya. Mudah-mudahan segalanya berhasil. Kita akan tetap teruskan perjuangan ini...Insyaallah ke medan Jaya.. Amen..


"Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kami kekuatan jihad untuk rajin berusaha membangunkan agama bangsa dan negara, jadikanlah kami ummat yang cemerlang dimata dunia dengan kekuatan ekonomi, akhlak dan teknologi, agar kami dapat memperkukuhkan pembangunan negara dan mempertahankan maruah kemerdekaan yang engkau anugerahkan kepada kami"

Sunday, October 18, 2009

PeRjaLanaN Yang MenYakiTkan PanDanGan MaTa


Perjalananku ke KL pada hari orang India menyambut Deepavali begitu jauh dirasakan. Aku menaiki train dari stesyen KTM Nilai ke stesyen KTM Bank Negara. Sempat juga melelapkan mata semasa dalam train. Keadaan sesak dan berhimpit-himpit membuatkan kepala jadi pening. Aku tidak ditemani siapa-siapa, hanya seorang diri mengatur langkah untuk berjumpa dengan Mak saudara ku. Dengan tujuan ingin menghantar barang dan mengambil kiriman kuih raya dari kakak yang datang sekejap ke KL. Gembira juga hati walaupun tak dapat beraya di Sabah tapi dapat juga merasa kuih raya yang diterbangkan khas dari kampung dan kakak buatkan khas untuk ku. Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan kami bertemu di SOGO. Hanya sekejap sahaja, sempat bersembang dengan mak saudara aku terus melangkah pergi untuk balik ke UKM. Tidak ada tujuan lain, malas juga nak berjalan seorang diri.

Aku terus menunggu ketibaan train ke Seremban, ramai juga orang yang menunggu..mungkin sebab perayaan Deepavali dan kebetulan hujung minggu. Bila train sampai, aku terus masuk bersama-sama kumpulan yang lain. Terpaksalah berhimpit-himpit dengan orang lain bila musim-musim cuti begini sememangnya orang ramai yang keluar ke bandar dan ke destinasi masing-masing. Alhamdulillah, dapat juga duduk bila ada ruang kerusi yang kosong. Aku duduk disebelah beberapa orang gadis India yang berpakaian sari. Cantik sungguh sari dan hiasan inai di tangan mereka. Teringin nak bertanya tetapi aku tidak ingin mengganggu perbualan mereka yang dari tadi begitu rancak, aku sendiri pun tidak memahaminya, hanya menjadi pendengar setia.


Bila train berhenti di stesyen Kuala Lumpur, masuklah sekumpulan anak remaja bersama pasangan masing-masing. Aku hanya melihat dari jauh gelagat mereka. Mula-mula mereka berdiri hampir dengan pintu, memandangkan orang lain nak masuk, mereka berpindah tempat betul-betul di hadapan ku. Sambil berdiri, sempat lagi berkelakuan tak senonoh. Bergelak ketawa dan berpeluk-pelukan. Aduh!!! Geram betul..dalam hati ni, kenapalah adegan ni berlaku depan mata. Sungguh menyakitkan hati, apalagi mata yang memandang ni. Sensitif sangat bila tengok benda-benda macam ni. Sejak akhir ini, aku sangat dan amat-amat sensitif dengan hal-hal sebegini. Tambah pula berlaku depan mata, diam bukan bermakna suka tapi selemah-lemah iman tidak membenarkan dalam hati atau tidak redha dengan perbuatan yang mengundang kemungkaran. Kemarahan hati yang tidak mampu dikawal lagi, dengan beraninya aku mengeluarkan kamera dari dalam beg. Di depan anak remaja itu jugalah aku memasang bateri kamera dan dengan selamba aku menangkap gambar mereka. Terkejut pun ada, muka gembira pun terpancar di wajah pasangan remaja itu.Aku berbuat demikian, sekurang-kurangnya mereka sedar. Mungkin dalam keadaan dah seronok mereka dah tak sedar diperhatikan Yang Maha Melihat dan Malaikat kiri kanan yang mencatat segala perbuatan manusia. Tapi sedarlah ada manusia sekeliling yang memerhati. Aku tak tau kuasa apa yang tiba-tiba muncul dalam diri. Kalau orang lain mungkin dah tak terfikirpun nak tangkap-tangkap gambar. Kalaulah remaja itu samseng, dah lama aku dibelasah. Bila melihat perlakuan yang tak senonoh itu, mungkin kalau orang lain yang berkelakuan seperti itu, hairan tu kurang sikit tapi yang amat memalukan perempuan tu siap bertudung lagi.
Zaman sekarang ni...benda-benda macam ni dah tak diherankan lagi, bilamana perkara seperti begini biasa dilihat di mana-mana. Tapi sedar lah... imej yang dibawa adalah Islam. Orang India dan Cina yag duduk di sebelah aku hanya melihat perlakuan dan adegan pasangan remaja itu. Tak tahu lah apa yang difikirkan. Aku hanya tunduk, malu nak mendongak kerana di hadapan aku remaja Melayu, Islam sesuka hati menonjolkan perlakuan seperti itu.

Dalam hati hanya berdoa..mohon Allah tunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Semoga aku juga sentiasa dalam peliharaanNya. Sampai di stesyen MidValley, pasangan remaja itu keluar dan barulah rasa luas pandangan mata ini. Sepanjang perjalanan ke detinasi ku, aku hanya berfikir dan bermuhasabah. Istighfar dan berselawat...mohon dipermudahkan perjalananku yang berseorangan ketika itu... Alhamdulillah, aku sampai ke kolej kediamanku sebelum jam 2 petang.

Tuesday, October 6, 2009

IkTiBaR



Perlahan-lahan aku membelek Tafsir al-Quran, meneliti beberapa ayat al-Quran yang menarik hati untuk diketahui sebagai melihat betapa kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingan. Bukan menduga apa-apa mahupun membuat kesimpulan daripada apa yang terjadi di bumi bertuah “Padang” Indonesia. Tapi cukuplah ia sebagai peringatan buat kita!

Gerun bila setiap bait kalamullah dibaca yang begitu menusuk di kalbu.


“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat Yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya” (Surah al-Isra 17 : 16-17)

Dalam ayat yang lain juga dijelaskan bahawa firman Allah SWT : “Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). (Surah al-Isra 17 : 58)

Kehidupan di dunia ini terlalu indah. Seindah hamparan duniawi yang penuh dengan kenikmatan yang tidak terperi banyaknya. Kemahuan dan kehendak hati tidak dapat jua dipuaskan dengan apa yang ada. Mencari dan terus mencari. Ingin sahaja memiliki dunia ini sebagai ganti pada kepuasan, namun segalanya tidak dapat dicapai.

Sekilas memandang kurniaan Tuhan Yang Maha Esa, cukup menjawab segala yang ada di dunia ini adalah milikNya jua. Kita hanya hamba, bukan raja pada dunia. Sedar atau tidak, pengakhiran hidup ini adalah kembali jua kepada Nya. Antara menemui ajal ataupun menemui hari pengakhiran. Segalanya adalah ketentuan Allah. DIA jua yang mengatur kehidupan ini. Sebagaimana tugas kita telah ditaklifkan. Telah nyata perintah Allah ”Tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.



Apa yang berlaku segalanya adalah atas kuasa Allah SWT. Banyak bencana dan malapetaka yang berlaku, sebenarnya ia merupakan peringatan dari Allah agar manusia sedar dan tidak alpa. Dugaan yang datang menguji sejauhmana keimanan kita kepadaNya. Ada ketikanya azab itu ditimpakan di dunia lagi dan yang selebihnya mungkin di akhirat nanti. Hanya kita yang akan menilainya dan mengemudi perahu kehidupan ini. Kita juga yang memilih jalan di hadapan sana....

Saturday, October 3, 2009

Kemeriahan Hari Raya 2009


“Bila balik raya? Raya di mana? Ramai juga kengkawan yang bertanya, biasanya orang yang jauh akan ditanya dengan soalan yang sama. Apalagi duduk seberang Borneo di Semenanjung Malaysia ni tambahan pula berjauhan dengan keluarga.

“Raya tahun ni tak balik pun, first time tak balik raya. Insyaallah beraya di Kelantan” itu lah jawapan yang dirasakan menjawab soalan kawan-kawan.

“aik?? Raya tempat siapa? Ooo…nak jadi ore kelate yea..? sempat juga mengusik sahabat aku yang seorang ni.

Alhamdulillah, raya tahun ni penuh makna walaupun tak dapat beraya dengan family di kampung. Sangat bersyukur kerana dapat mempelajari sesuatu yang berbeza dengan suasana di tempat sendiri.

Perjalanan pada 28 Ramadhan itu merupakan perjalanan yang panjang bagi aku kerana untuk sampai ke negeri pantai timur itu memakan masa berjam-jam tambahan pula semua warga kota mula pulang ke desa masing-masing untuk menyambut raya yang hanya tinggal beberapa hari lagi. Walaupun mengambil masa yang lama untuk perjalanan kali ini yang sangat berbeza dengan perjalanan biasa ketika balik ke kampung ku di Sabah Bawah Bayu, namun kegembiraan di hati tetap terpancar. Tidak sabar rasanya memijakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan “Kota Serambih Mekah”. Sekian lama memasang impian ke kota itu tetapi dikesempatan yang singkat ini sudah cukup memberikan aku seribu kenangan dan pengalaman biarpun tidak sempat menjengkuk “Pasar Siti Khadijah”.

Hari raya disambut dengan seadanya, nak kata tak meriah tapi rasa meriah juga bila dapat berkunjung ke rumah sanak saudara bapa saudara ku. Kelihatan serombongan lengkap dengan pakaian raya yang kemerah-merahan kecuali aku yang tetap solo terselit juga diantara keluarga. Berbeza dengan yang lain tapi itu tidak menimbulkan masalah untuk aku menyesuaikan suasana raya di tempat orang. Berhari raya dengan seluruh rombongan keluarga menambahkan lagi hubungan rapat yang sedia terjalin. Begitu seronok dirasakan. Tapi terkenang juga kemeriahan raya di kampung sendiri. Hanya mendengar khabar dari jauh, sambutan raya di kampung cukup meriah walaupun aku tiada bersama.

Aku sempat beraya di Kelantan sampai hari raya pertama sahaja, hari raya ke-2 aku bersama mak sedara sefamily dah pun berangkat balik ke KL. Apabila beraya di tempat orang sememangnya rasa perbezaan tu tetap ada. Terheran pun ada juga terutama budaya memberi “Duit Raya” kepada kanak-kanak. Mungkin itu sudah menjadi budaya di tempat orang tetapi di tempat sendiri bukan lah suatu kewajipan dan kurang dibudayakan. Mungkin adapun tetapi amat berbeza dengan suasana ditempat orang terutama di Semenanjung Malaysia ini. Sepanjang berkunjung ke setiap rumah, aku melihat perkara ini menjadi satu kewajipan. Bila duit dihulur setiap kali ke rumah saudara mara. Begitu juga yang datang akan membalas dengan memberi duit raya kepada setiap anak-anak. Tidak lah dikatakan salah benda ni tapi hanya melihat perbezaan di tempat sendiri dengan tempat orang. Mungkin ini juga satu pengalaman baru bagi diri ini.

Sesaat terkenang juga suasana raya ditempat sendiri, baju sedondon tidaklah dimestikan. Itu terpulang dengan diri masing-masing. Kadang-kadang baju raya tahun lepas juga akan menjadi baju raya tahun ini dan mungkin tahun-tahun seterusnya. Tidak juga sibuk menyediakan duit raya. Seandainya adapun hanya sekadar yang termampu sahaja untuk anak-anak sedara sendiri. Melihat keluarga sendiri, menu dan hidangan menjadi kepentingan untuk dijamu kepada tetamu dan sanak-saudara yang datang dari jauh mahupun dekat. Mungkin juga raya sebelum-sebelum ni menjadi pengajaran bila makanan yang dihidangkan tidak mencukupi. Beginilah bila dah jadi keluarga besar. Malu juga mengenang keadaan itu sebab bagaikan sekampung yang datang tetapi sungguh menjadi kenangan terindah bila mana seluruh sanak saudara berkumpul bersama dan dapat saling kenal-mengenali serta merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Masa raya sebeginilah semua keluarga dapat berkumpul bersama. Itulah sebabnya hidangan dan juadah raya begitu menjadi yang penting dan utama. Takut pisang berbuah 2x lagi… Sedikit sebanyak menggambarkan perbezaan suasana raya ditempat sendiri dengan di tempat orang. Apapun segalanya menjadi kenangan terindah dalam hidup.

Wednesday, September 30, 2009

Bahang Raya di bulan Ramadhan

Lagu “Selamat Hari Raya” berkumandang di mana-mana. Biarpun lagu tu dicipta sejak aku kecil lagi, tapi sampai sekarang lagu tu tak pernah lapuk dek zaman…



Belum pun raya, Ramadhan masih berlabuh di bulan mulia tapi bahang hari raya dah terasa. Aku juga tak ketinggalan menghangatkan suasana raya bila sempat juga berjalan-jalan ke Jalan Tun Abdul Rahman dekat KL untuk membeli sepasang baju raya..


Mula-mula terfikir nak beli jubah, seluruh kedai di lorong itu semuanya kami geledah semata-mata mencari mencari baju raya yang berkenan di hati. Sambil berjalan-jalan, mata tak pernah terhenti memandang setiap kedai dan gerai. Tiba-tiba dengar suara dihujung jalan itu…

“Beli-beli..tudung ekin, tudung siti semua ada…” wah..meriahnya bila tengok jurujual lelaki itu mempromosi segala jenis tudung yang dijual.

“Siapa nak tudung Siti, jumpa saya…” mai..mai…siti ada, ekin ada…macam-macam pun ada.. Geli hati juga bila dengar siap dengan pembesar suara lagi, sempat menyelit di celah-celah orang yang ramai, bukan nak beli tudung tapi terheran dan terpelik dengan keadaan seperti itu.

Tergeli hati pun ada juga..bila melihat beberapa jurujual lelaki yang menjual tudung itu lengkap memakai tudung dengan stokin lengan lagi. Sempat juga minta izin untuk mengambil gambar jurujual tu. Ingatkan aku seorang je yang ambil gambar, rupa-rupanya wartawan Sinar Harian juga tak ketinggalan untuk merakamkan suasana ini. Sungguh meriah! Memang bahang nak raya sudahpun bermula.

Mula berfikir…terpegun bila melihat kesungguhan jurujual lelaki itu menjual. Memang sungguh laris. Golongan wanita berpusu-pusu tak terkira, yang bertudung ada..yang tak bertudung pun ada juga. Bila fikir-fikir..terbayang di minda dan persoalan mula bermain difikiran. Seandainya promosi menjual tudung itu diselitkan sedikit unsur “Islamic” mungkin promosi tadi lebih hebat lagi dan memberi sedikit kesan di hati pembeli atau para pengunjung gerai. Kenapa tidak diselitkan sedikit kata-kata yang menggambarkan “Kenapa mesti bertudung”?
Seandainya kata-kata promosi itu di tambah lagi.. ”beli..beli...mai sini, tudung ekin ada, tudung siti ada...tutup rambut, tutup kepala, tutup aurat...mesti cantik punya..” Kalau ditambah seperti itu, adakah semua pelanggan akan lari atau tak nak datang. Model Lelaki bertudung dah cukup hebat..kalau diperhebatkan lagi dengan kata-kata power pasti lagilah hebat. Tapi mungkin itulah tujuan bisness semata-mata.

Sama lah dengan jual tudung tapi tak bertudung...pastinya mata-mata yang pertama kali memandang dengan sedikit kesedaran pasti rasa pelik lagi dengan keadaan seperti itu.
Samalah juga...semuanya semata-mata bisness. Allahu'alam..Mungkin perlu ada orang yang menyampai dan memberitahu apa yang sepatutnya. Mungkin juga dah tau tapi buat tak tahu. Yang penting untung...itulah fikrah yang lumrah dalam kehidupan manusia biasa yang membiasakan keadaan sebegitu.

Sebagai insan kerdil yang belajar dan menyingkap kejahilan dengan ilmu, yang biasa tidak akan dibiasakan melainkan mewujudkan yang biasa kepada yang luar biasa. Mungkin kita sama sahaja tapi adakah kita akan samakan diri kita dengan orang lain dalam semua hal.. mungkin sesuatu yang hebat lagi mampu kita cipta, apalagi dalam mempromosikan mesej dan imej Islam yang sebenar kepada yang lain. Walaupun rasa tidak layak untuk memperbaiki orang lain kerana sedar dan merasakan diri tidak baik tapi itu bukan alasan untuk "menyampaikan dan memberitahu ". Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat". (Riwayat al-Bukhari). Itulah tuntutan yang sebenarnya.
Aku kerja Polis kerja tangkap orang salah, aku kerja Jururawat dan Doktor kena rawat orang di hospital, aku Cikgu Bahasa Melayu mengajar di sekolah rendah, aku Bisness kecil-kecilan..aku Menteri, aku Pegawai, ala.....aku Kerani jerr....gaji tak tinggi pun. Alasan yang kononnya menjadi sebab sebenarnya bukan penghalang untuk terus menyampaikan "amar makruf nahi mungkar" kerana sebagai muslim kita telah ditakhlifkan dengan amanah. “Sesungguhnya kalian adalah pemimpin , dan setiap kalian akan ditanya tentang kepemimpinannya” ( Bukhari, Muslim ).


Adakah aku hanya penjual ikan tidak boleh menyampaikan tentang Islam?? Apalagi aku yang dulunya belajar dan mengaji sampai dapat sijil Pengajian Islam dan Dakwah..bila dah jadi Pegawai Tanah hanya sampaikan pasal tanah sahaja. Apa ada sijil, diploma, degree, master, Phd kalau tak menyampaikan tentang Islam walaupun satu ayat? Ramai orang berilmu sampai 10 phd sekalipun tapi belum tentu boleh jadi ulama dan belum tentu berani menyampaikan kebenaran. Memang tersentak juga dengan kata-kata pensyarah aku itu. Walaupun berpangkat Professor dan bukan bidang pengajian Islam tambahan lagi seorang berbangsa cina tapi setiap kata-katanya begitu penuh makna membuatkan aku selalu tersentak dari lamunan. Di manakah pula kedudukan kita???

Thursday, September 3, 2009

Kerja Siapa??


Ketika sedang asyik berbincang dengan rakan-rakan di meja dekat dengan dewan kuliah, tetiba kawan di sebelah menyapa bila melihat dua orang pelajar melalui depan mereka. Eh!! Beraninya pakai pakaian macam tu, tak apa kalau bukan student pengajian Islam..ni budak yang belajar hukum hakam pula tu. Semua yang berkumpul di situ menoleh ke arah pelajar perempuan berbaju kurung yang memakai tudung hanya atas paras dada. Sungguh menampakkan sekali.

Sahabat yang sejak tadi merenung dari jauh pula berkata “pelik juga…dah belajar hukum hakam ni, selamba jer.., aku ni bukanlah baik sangat tapi taklah suka tengok dan tak berkenan macam tu”

“Haa..siapa yang Dakwah tu kena bagi tarbiah sikit kat dorang tu.” Seorang kawan tu pula bersuara.

Kawan seorang pula menyahut “Laa…siapa yang Nampak kemungkaran, dial ah dulu yang kena tegur”

Seorang pula “ish..ish…nak tegur tapi aku pun lebih kurang juga, engkau la ambil dakwah..bagi tarbiah sikit”

“Kan baik letak sign board depan ni “Sila berpakaian sopan ke.., sila tutup aurat ke..whatever lah...yang penting nampaklah juga peringatan” kata seorang kawan.

Masing-masing meletakkan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran tu ke atas bahu yang layak. Apalagi yang ambil bidang dakwah. Semuanya menunding jari kepada yang ambil dakwah. Bagi yang ambil bidang Syariah, Usuluddin, Quran Sunnah dan lain-lain kos mengasingkan diri dari tanggungjawab tersebut. Tugas menegur dan memperbetulkan segala kemungkaran itu diletakkan kepada golongan pendakwah sahaja. Tetapi bukan lah semua berfikiran seperti itu. Cuma sesetengah orang berfikiran sedemikian.

Sebenarnya, Dakwah merupakan salah satu daripada kewajipan di dalam agama Islam yang sepatutnya tidak boleh dialpakan oleh setiap muslim. Ada tanggapan bahawa dakwah hanya perlu dimainkan oleh golongan tertentu sahaja daripada umat Islam. mereka meletakkan kewajipan dakwah ini kepada agamawan sahaja. Ulama, guru-guru agama sahaja yang dilihat sebagai berperanan dalam bidang ini. Manakala selain dari golongan itu seolah-olah terlepas daripada kewajipan ini. Sedangkan Islam telah mengangkat dakwah itu ke satu mercu yang amat tinggi yang perlu digapai oleh setiap Muslim yang peka terhadap permasalahan umat lalu dijanjikan dengan balasan yang sangat tinggi bagi mereka yang terlibat dengannya. Inilah juga tugas asasi bagi setiap rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di muka bumi ini dengan membawa ajaran Islam agar ia dipraktikkan dan dijadikan sebagai suatu cara hidup di semua peringkat kehidupan sama ada bagi individu, masyarakat, negara, malah seluruh ala mini sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Keperibadian Pendakwah

Kerja-kerja Islam terutamanya dalam bidang dakwah ini banyak bergantung kepada penampilan pendakwah itu sendiri. Kita akui bahawa kejayaan sesuatu dakwah adalah di dalam ketentuan Allah SWT, namun begitu kita perlu berusaha mengambil semaksimum mungkin segala sebab yang boleh membawa kepada kejayaan yang diimpikan. Kita sedia maklum bahawa dakwah itu terbahagi kepada dua iaitu dakwah bil-maqal (dengan perkataan/ucapan) dan dakwah bil-hal (dengan tindakan/ perbuatan). Dalam kedua-dua jenis dakwah ini kadang-kadang dakwah bil-hal lebih berkesan berbanding dakwah bil-maqal kerana sesetengah orang lebih tertarik kepada apa yang dibuat, bukan apa yang dicakap. Justeru itulah pendakwah yang Berjaya semestinyalah memiliki keperibadian Islam yang unggul.

Isu utama dalam keperibadian Islam yang perlu sentiasa diingati oleh para du’at ialah berjaga-jaga terhadap maksiat. Sikap berjaga-jaga terhadap maksiat perlulah mengatasi sikap berhati-hati mereka terhadap musuh mereka sendiri kerana maksiat adalah musuh tersembunyi yang akan menggagalkan usaha murni kita.

Justeru bagi membentuk keperibadian Islam ini, pendakwah perlu memastikan mereka mempunyai cirri-ciri berikut :

Pemikiran Islam

Pendakwah mesti mempunyai pemikiran Islam atau disebut sebagai Aqliah Islamiah. Maksudnya mereka mesti melihat segala sesuatu dari sudut pandangan Islam dan memutuskan sesuatu perkara juga berdasarkan kepada pandangan Islam. Islam mesti dilihat sebagai neraca bagi setiap isu dan penyelesai bagi setiap masalah.

Jiwa Islam

Apa yang dimaksudkan dengan jiwa Islam ialah hasil yang diperolehi daripada pemikiran Islam seseorang itu yang mempengaruhi perilakunya. Ini bermakna seseorang yang mempunyai pemikiran Islam, kecenderungannya dan naluri jiwanya juga akan terarah kepada kehendak ajaran Islam yang suci. Boleh juga kita sebutkan bahawa jiwa Islam ini adalah pelaksanaan nilai-nilai Islam berdasarkan kepada kerangka pemikiran Islam yang dimilikinya dan disampaikannya kepada golongan yang didakwahkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak melakukannya?

Jiwa Islam juga adalah sebagai bukti keimanan seseorang kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Iman itu bukanlah dengan hanya berangan-angan atau perhiasan (cara berpakaian), tetapi iman adalah sesuatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan oleh amalan”.

Sifat-sifat pendakwah

Memiliki sifat-sifat dan perkara-perkara asas yang wajib dimiliki oleh pendakwah, antaranya :
  • Niat yang ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalankan kerja dakwah.
  • Dakwah secara hikmah, nasihat yang baik dan berdebat dengan cara baik.
  • Mempunyai pengetahuan tentang masyarakat yang ingin disampaikan dakwah seperti ideologi mereka dan isu setempat.
  • Mempelajari Sirah Nabawiyyah dan ajaran Islam.
  • Menghafaz sebahagian ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuan sebagai dalil atau hujah terhadap apa yang diperkatakan.

Pendakwah perlu sedar bahawa kepetahan bicara lisan semata-mata bukan kekuatan utama dalam menentukan kejayaan sesuatu dakwah. Justeru itu gabungan ilmu, iman dan amal dalam menggerakkan mesej dakwah Islamiah ini amat dituntut bagi mencapai kejayaan gemilang.
Semoga dengan pemahaman mengenai kewajipan ini dapat diambil iktibar bersama dalam meneruskan usaha dakwah kita. Mudah-mudahan usaha yang sedikit diberkati Allah SWT hendaknya. Amiin...


Wednesday, August 26, 2009

Sebalik AMAL dan IBADAH

Disebalik amalan dan ibadah kita perlu ada Keikhlasan di hati. Andai sepanjang hidup kita beramal dan beribadah tanpa keikhlasan, umpama hidup tiada matlamat. Semua yang dikerjakan menjadi sia-saia. Inggatlah! Allah menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku".

Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan ibadah tersebut. Ini jelas sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah di dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan".
Di antara ibadah yang wajib kita lakukannya, bulan yang mulia penoh dengan keberkatan ialah dengan berpuasa di bulan Ramadhan.

Ibadat puasa perlu kepada keikhlasan sebagaimana ibadat-ibadat lain yang dikerjakan kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibdah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu." Dengan ini jelas Allah meliaht hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya.
Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima. Sabda Rasulullah s.a.w.
Maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"
Ia juga merupakan landasan yang kukuh di atas mana-mana orang yang melaksanakan bermacam-macam amal dan tugas kebaikan dan sifat keikhlasan itulah pokok segala kebahagiaan. Sesuatu kerja yang tidak keluar dari hati yang ikhlas nescaya tidak menghasilkan buah bahkan mungkin akan merugikan kepada diri sendiri. Orang yang bekerja tanpa keikhlasan dia bekerja hanya untuk lahir sahaja lupa kepada tujuan dan matlamat dia bekerja sedang tiap-tiap amal tanpa ikhlas pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.

Tegasnya saudara dan saudari sekelian orang yang tidak mempunyai keikhlasan hati bererti tidak yang berdiri di tempat gelap tidak mempunyai lampu cahaya untuk meneranginya, tidak mempunyai sayap untuk terbang tinggi, dia bekerja hanya untuk dorongan hawa nafsu sahaja. Cara yang demikian menjatuhkan tuannya ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Tuhan memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Araf
Maksudnya: "Hadapkanlah muka kamu dengan lurus, tulus dan ikhlas tiap-tiap mengerjakan sembahyang dan serulah Tuhanmu sambil mengikhlaskan diri kepadaNya"
Dalam surah yang lain Allah menerangkan maksudnya: "Tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk berbakti memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan"

Dari ayat di atas kita dapat memahami bahawa Allah memerintahkan kita semua supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dengan erti kata kita kerjakan sesuatu amalan, sesuatu kerja kerana Allah bukan sekali-kali kerana sesuatu atau seseorang yang lain lebih-lebih lagi kerana sesuatu ganjaran kebendaan.

Syeikh Al Khushairi seorang pengasas Tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allah s.w.t. bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah Tuhan yang menjadikan kita.

Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang di dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Ianya merupakan alat yang menyampaikan cita-cita yang mulia. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan hatinya tentunya tidak mudah patah atau putus harapan di tengah jalan. Tidak mudah putus asa, dia tidak akan puas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka di dalam bekerja teguh pendirian kuat hemah dan kemahuan, dia tidak akan tersinggung hati lantaraan celaan dan kritikan orang lain. Tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga kerana dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan orang yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha hingga tercapai yang dicita-citakan dan tidak akan memberhentikan kerja itu walaupun akan menghadapi rintangan, halangan dan menempuh pengorbanan yang besar kerana mereka mengharapkan keredaan Allah yang tidak ada batasannya.

Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk"

Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Iblis berkata wahai tuhanku oleh sebab engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hambaMu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.

Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah bererti:

"Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nekmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka.

Adapun yang menuntut ilmu dan telah mengajar pula serta menjadi pembaca Al-Quran, orang ini dibawa ke pengadilan Tuhan di hari kiamat sedang dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Dihadapan Tuhan ditanya apa amalmu jawabnya "aku banyak membaca Al Quran" Berfirman Allah kepadanya engkau bohong! Engkau menuntut ilmu itu agar dikatakan orang engkau seorang yang alim, engkau membaca Al-Quran itu supaya dikatakan orang seorang Qari dan yang demikian itu telah engkau dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam neraka.

Adapun seorang lelaki yang telah mendapat kelapangan rezeki sebahagian hartanya dibahagikan kepada orang lain kemudian orang itu pun dibawa menghadap Allah untuk dibicarakan dan dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Di hadapan Allah dia ditanya apa kerjamu dia menjawab "aku telah membelanjakan hartaku kepada jalan yang engaku redai dan itu telah aku kerjakan kerana engkau". Allah telah berfirman kepadanya engkau berbohong engkau berbuat demikian itu adalah supaya dikatakan orang engkau seorang pemurah sedangkan yang demikian itu telah dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam api neraka. Demikianlah riwayat hadis tiga jenis orang beramal tidak ikhlas. Amalan mereka ditolak tidak diterima oleh Allah dan akibatnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka.

Kesimpulan apa yang telah diperkatakan tadi ialah bahawa beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran dan untuk menjadikan amalan itu agar kekal abadi sempurna lahir dan batin perlulah kita lakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala khususnya kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan yang mulia, bulan untuk kita meningkatkan amal kebajikan kita jadi hendaklah segala amalan kebajikan yang kita lakukan di bulan ini dapat dilakukan dengan seikhlas-ikhlasnya supaya ianya benar-benar dapat diterima oleh Allah s.w.t. dan dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya. Insyaallah..ameen.
(Petikan dari Teks Ceramah)

Tuesday, August 25, 2009

LADM dalam Berita..


Mahasiswa UKM kongsi pengalaman


FELDA GUGUSAN TERSANG – Pengalaman manis menetap di negara ini pasti menjadi buah tangan bermakna kepada beberapa penuntut antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program Latihan Amali Dakwah Muslim 2009 anjuran Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM membawa beberapa penuntut antarabangsa menikmati pengalaman bermakna bersama keluarga angkat di Felda Gugusan Tersang. Seramai 45 keluarga menerima kedatangan lebih 80 penuntut UKM dengan pelbagai pengisian bermakna sepanjang program berlangsung.
Bagi Abdullah Dogan, 20-an, yang berasal dari Turki, pengalamannya bersama keluarga angkat lebih bermakna selain bergaul bersama penduduk tempatan sepanjang pengajian. Menurutnya, banyak perkara diperoleh bersama keluarga angkat termasuk memahami budaya dan amalan masyarakat Melayu walaupun hanya tinggal beberapa hari bersama mereka. “Saya tidak menghadapi masalah komunikasi memandangkan sudah boleh berbahasa Melayu sejak awal menuntut di UKM. “Layanan baik keluarga angkat member inspirasi dan perspektif baru terhadap saya terutama berkaitan kehidupan masyarakat di perumahan terancang seperti Felda,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, penuntut berasa dari Turki, Sadik Ozata, 20-an berkata, dia gembira kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah yang disediakan keluarga angkat. “Saya tidak hadapi masalah untuk menikmati makanan di sini kerana semua yang dihidangkan menepati cita rasa saya dan sebahagian makanan tradisional begitu unik serta menarik perhatian,” katanya.
Saphibi Wangoh, 20-an dari Thailand berkata, keramahan penduduk setempat menambat hatinya sekali gus menanam azam untuk kembali menziarahi keluarga angkat pada masa akan datang. Katanya, biarpun berjiran negara, tetapi gaya hidup kemasyarakatan di situ mendatangkan suasana meriah dan tidak akan dilupakan. “Keunikan masyarakat pelbagai kaum dan budaya menjadikan sebagai tarikan utama untuk mengenali lebih dekat lagi. “Keharmonian dan kebebasan yang dipamerkan meningkatkan semangat saya untuk berusaha mencapai matlamat sebagai bekalan berdakwah walau di mana saya berada,” katanya. Mahasiswa berkenaan berharap pengalaman bermakna ini akan terus mekar di samping memelihara hubungan erat berpanjangan.

Monday, August 24, 2009

Kemeriahan Berbuka Puasa

Setelah seharian menjalani ibadah puasa, saat yang ditunggu-tunggu hampir tiba. Pelbagai juadah berbuka puasa telahpun tersedia. Bagi kebanyakan pelajar UKM, masjid menjadi tumpuan utama sepanjang Bulan Ramadhan. Bersama sahabat berjalan menuju ke masjid seawalnya. Tapi ada juga yang berbuka di luar bersama keluarga, teman-teman dan tidak kurang juga mereka yang telah berjanji dengan pasangan masing-masing memilih destinasi untuk berbuka puasa.

Destinasi terpilih...Masjid UKM yang terseragam indah

Meriahnya makan dalam talam
Syukuri nikmat rezeki yang ada... Syukur, Alhamdulillah..
Menanti detik dan ketika...azan berkumandang
Ceria bersama teman....



Ibadah Puasa penuh dengan kemeriahan, bukan sahaja kemeriahan berbuka puasa tetapi bulan ini juga lebih meriah lagi dengan pahala dan nikmat yang Allah SWT telah janjikan untuk umatNya yang benar-benar menjalani ibadah puasa ini dengan kesempurnaan Iman dan keikhlasan beramal dan beribadah kepada Allah yang Esa.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk (minyak wangi).” Riwayat Bukhari & Muslim



Begitulah Maha Pemurah dan Maha Pengasihnya Tuhan Pencipta kita, walau perit sedikit dalam beribadah namun tetap membalas segala amal kita dengan kenikmatan pahala dan kegembiraan yang melimpah ruah. Apalagi dapat berbuka puasa dengan kawan-kawan di masjid. Dapat pula makan dalam 1 talam. Ukhuwah itu menjadi lebih indah apalagi segala apa yang ada walaupun sedikit tapi dikongsi bersama. Rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt diatas nikmat rezeki yang tidak terhingga. Dikala kita semua menjamah makanan dengan minuman ais yang cukup nikmat, ada lagi insan di luar sana memerlukan sesuap rezeki. Lebih-lebih lagi bila juadah tak habis dan menjadi sisa terbuang...sungguh membazir dan nampak pula tak bersyukur.... "sesungguhnya siapa yang membazir, menjadi sahabat syaitan". Minta lah dijauhkan...

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan al-Mubarak

Ketibaan bulan mulia yang penuh barakah, Bulan Ramadhan..Kedatangannya dinantikan... Ketiadaannya dirindui....Pemergiannya ditangisi..
Bulan Ramadhan adalah bulan untuk umat Islam berpuasa menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan perkara yang boleh membatalkannya. Berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari tetapi umat Islam hendaklah menahan diri daripada melakukan dosa kecil mahupun dosa besar. Hendaklah menjaga diri daripada berkata perkara yang sia-sia, mengumpat, melihat kemungkaran, melakukan maksiat dan sebagainya yang boleh mencacatkan kesempurnaan puasa kita. Sebenarnya pada bulan puasa, kita hanya berperang dengan nafsu kerana syaitan dirantai dibulan yang mulia ini sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."
Sesungguhnya, Bulan Ramadhan adalah bulan yang agung kerana mempunyai beberapa keistimewaan di antaranya :

1) Orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan itu secara iman, dan hanya kerana perintah Allah semata-mata maka diampuni Allah SWT dosanya yang telah lalu sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW berkata ia : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan dengan perhitungan (dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah) diampuni Tuhan segala dosanya yang terdahulu".

2) Pada bulan Ramadhan itulah mula-mula turunnya al-Quran sebagai mana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"Adapun bulan Ramadhan itu padanya diturunkan al-Quran, akan jadi petunjuk bagi manusia dan jadi kenyataan dari petunjuk serta membezakan antara yang hak dan yang batil"
3) Dalam bulan Ramadhan itu terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, bahkan syaitan dan iblis dibelenggu ketika itu. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Dari Abu hurairah r.a bahawasnya Rasulullah SAW berkata: "Bila telah datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, dan terbelenggulah syaitan-syaitan".

4) Puasa bulan Ramadhan itu diistimewakan oleh Allah SWT, untuk Allah sendiri dan Dia sendiri pula yang akan menentukan ganjaran. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"Dari Abu Hurairah r.a berkata ia: Telah bersabda Rasulullah SAW : "Tiap-tiap amalan anak Adam dipergandakan pahalanya antara sepuluh sampai 700 kali, telah berfirman Allah 'Azza Wajalla, kecuali puasa, kerana seseungguhnya puasa itu untukku dan Akulah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makanannya kerana Aku semata-mata".

5) Di dalam bulan ramadhan berlaku Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan pahala amalan kebajikan mendapat ganjaran seperti beribadah seribu bulanAntara kelebihan yang utama ialah ia mengandakan pahala ibadah. Diawal bulan ramadhan adalah kerahmatan, dipertengahanya keampunan dan diakhirnya dijanjikan terlepas dari api neraka. Sebagai mana berfirman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar"

6) Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan disediakan tempatnya di syurga suatu tempat yang istimewanya, pintunya bernama "Rayyin", sebagai mana hadis SAW yang bermaksud:

"Dari Sahal bin Said r.a : "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan orang ar-rajjan yang akan memasukkannya pada hari kiamat orang-orang yang puasa dan tidak seorang juga akan memasukinya selain mereka".

Semoga kehadiran Ramadhan kali ini memberi sejuta makna buat kita semua, Semoga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan kebajikan dan ketakwaan kepada Allah swt...Salam Ramadhan buat semua. Selamat Berpuasa!


Wednesday, August 12, 2009

Sebutir Bintang...Pergi Tak Kembali..

Pergi Tak Kembali

Setiap insan pastikan merasa

Saat perpisahan terakhir

Dunia yang fana akan ditinggalkan

Hanya amalan yang akan dibawa


Terdengar sayup surah dibaca

Sayu alunan suara

Cemas di dada lemah tak bermaya

Terbuka hijab di depan mata


Selamat tinggal pada semua

Berpisah kita selamanya

Kita tak sama nasib di sana

Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan

Sejahtera, bahagia pulang...kesana

Sekujur badan berselimut putih

Rebah bersemadi sendiri

Mengharap kasih anak dan isteri

Apa mungkin pahala dikirim


Terbaring sempit seluas pusara

Soal bicara terus bermula

Sesal dan insaf tak berguna lagi

Hancurlah jasad dimamah bumi


Berpisah sudah segalanya

Yang tinggal hanyalah kenangan

Diiringi doa dan air mata

Yang pergi takkan kembali lagi

Sedang asyik dengan rakaman talk show di bilik studio, Ustaz Idris tiba-tiba menyapa “ eh..Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia kul 11.00 pagi tadi”. Hampir semua sahabat-sahabat yang ada dalam bilik studio terkejut. “Hahhh!!! Aper??? Asri Rabbani?? Aku pun turut terkejut dengan berita yang baru sahaja ku dengari. Dengan hati yang hiba, terlafaz dibibir ”Innalillahi wa inna ilaihiraajiuun...”. Al-Fatihah buat Allahyarham, semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.

Fikiran masih lagi pada berita sedih dan pilu itu, satu persatu kenangan mengimbas difikiran. Terlalu sukar menerima kehilangan sebutir bintang yang amat bermakna dan sentiasa bersinar dalam dunia industri muzik tanahair. Lebih penting lagi, mesej yang dibawa oleh kumpulan nasyid ini adalah mesej dakwah yang tidak pernah luntur sejak berapa puluh tahun dulu. Walaupun pada mula kemunculan kumpulan ini bermula dengan kumpulan nasyid Nada Murni tetapi langkah kearah memartabatkan industri nasyid tetap berterusan sehinggalah ke hari ini. Mereka lah antara kumpulan nasyid yang mula-mula mencetus kepada perubahan industri muzik bersama Raihan dan Hijjaz sehinggalah lahirlah bintang-bintang baru dalam industri nasyid.

Kehilangan Ustaz Asri Ibrahim merupakan suatu kehilangan yang besar, sukar untk dicari ganti dengan anugerah Tuhan pada kelunakan dan kemerduan suara Allahyarham begitu mengusik jiwa pendengar dengan tarbiah pada bait-bait lagu dan alunan suaranya. Pastinya yang tumbuh tidak sama dengan yang pergi.

Merenung balik lirik lagu ”Pergi Tak Kembali”.. terasa tersentuh, sayu dan hiba. Berpisah sudah segalanya, Yang tinggal hanyalah kenangan,Diiringi doa dan air mata ,Yang pergi takkan kembali lagi..

Bagaikan baru semalam arwah mendendangkan lagu ini, alunan suaranya semacam terasa di telinga, cukup menusuk kalbu. Bagaikan satu petanda, bagaikan satu peringatan buat kita. Dan lirik lagu ini bagaikan pesanan allahyarham buat kita semua setelah pemergiannya. Peringatan demi peringatan dari Allah swt sebenarnya telah lama tetapi kadang-kadang kerana kesoronokan dunia menjadikan kita lupa dan lalai. Bait lagu ini cukup memberi pesan dan peringatan buat kita. Betapa kuasa Allah mengatasi segala kudrat kita sebagai hambaNya yang dhaif. Tidak kira masa, tempat dan hari....saatnya akan tiba jua. Beringat sentiasa dengan beramal dan memperbaiki diri selalu agar kita sama-sama menjadi insan yang tidak rugi didunia dan akhirat. Insyaallah..


Benarlah kata-kata Allah swt..

Sahabat mula terfikir, benarlah kalamullah Taala yang bermaksud :

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Ahzab:59)


Peristiwa petang tadi benar-benar menyentak jiwa raga, kerisauan dan keresahan menyelubungi sepanjang berada dalam Bas Mini yang membawanya bersama sahabat disampingnya menuju destinasi yang menjadi tumpuan mahasiswa UKM. Apa lagi kalau bukan ke Kajang.

Semasa Bas Mini berhenti di stesyen KTM, seorang gadis manis menaiki masuk ke dalam bas, dari pandangan mata menampakkan kejelitaan dan keayuan cukup terserlah namun tubuh yang cantik hanya ditutupi dengan pakaian ketat dan cukup menampakkan bentuk tubuh. Di saat itu juga, 3 orang jejaka yang duduk bersebelahan dengan kerusi sahabat mengusik gadis itu tanpa menghiraukan orang ramai yang sama-sama menaiki bas tersebut. Tak lekang dibibir sang jejaka dengan bermacam-macam usikan sepanjang perjalanan ke Kajang. Suara lelaki mengisi ruang bas, “Dik…marilah duk dekat abang sini….abang tak buat apa-apapuuunnnnn..Kita kan 1 Malaysia”. Rakan disebelah pula menambah bicara…mana ada perempuan yang tak cantiiiikkkkkkk, dihentampun tak apeeeeeeeeee!!! Hahahaha….Berderai gelak tawa ke tiga-tiga jejaka tadi. Pemandu bas pun tak mampu berkata apa, Cuma memberi tumpuan kepada pemanduannya. Penumpang yang lain pula tidak menghiraukan keadaan yang berlaku.

Sahabat yang dari tadi gelisah dan mula takut tidak putus-putus beristighfar dan berselawat. Jauh disudut hati, sangat bersyukur kerana ramai-ramai perempuan di dalam bas itu, sahabat tadi langsung tidak disapa dan ditegur oleh lelaki yang duduk di kerusi sebelah apatah lagi diusik sedemikian rupa. Sambil berkata dalam hati, “Syukur Alhamdulillah, dengan berkat berpakaian seperti ini..aku tetap dilindungi Allah. Saat itu aku merasakan diri ini terkurung dalam belon. Tak adapun yang mampu mencapainya, apatah lagi dengan pandangan liar dan usikan yang memuakkan. Sahabat betul-betul bersyukur.

Aku pula berfikir dan menyuarakan pendapat ”bayangkan macamana kalau setiap 1 bas diletakkan seorang Pendakwah dalam masa seminggu sahaja?” Apa akan jadi ye??
Sahabat pun tak terfikir situasi sebegitu, yang mampu diluahkan rasa kesyukuran atas keselamatan dirinya yang masih dilindungi.
Bila sahabat menyatakan ayat al-Quran dari Surah al-Ahzab itu, aku juga berfikir tentang keajaiban dan kebenaran perintah Allah yang nyata dalam ayat tersebut. Tidak perlu disangkal lagi, semua wanita seharusnya sedar dan faham tentang ini. Kadang-kadang zaman sekarang tudung menjadi suatu trend sahaja. Cukup lah bertudung dah menampakkan ciri-ciri pakaian yang disyariatkan oleh agama. Sedangkan pada tubuh yang lain masih belum menepati apa yang dikehendaki oleh Allah swt. Amat takut apabila diri ini terpesong jauh dari petunjukNya. Iman menjadi benteng teguh untuk kita berhadapan dengan gelora badai dunia yang penuh mencabar ini. Semoga ia akan tetap sejati dalam diri insani yang sentiasa mendambakan keredhaan dari Tuhan Yang Esa....

Monday, August 10, 2009

Bukan Mudah Mencetuskan Idea

Semalaman memikirkan apa yang perlu ditulis dan dikarang untuk ucapan Timbalan Dekan dan Pengerusi sempena Hari Interaksi Kelab Usahawan Pelajar, Fakulti Pengajian Islam. Pening juga memikirkan tapi apakan daya dah diamanahkan tugas sebagai ajk Protokol & Jamuan. Pasal jamuan makan ni senang sikit nak handle tapi nak buat teks ucapan perasmian ni yang langsung tak berpengalaman.
Aduhhh!! sakit juga memerah otak, kalau orang yang dah biasa mengarang dan menulis ni memang kacang je.. mahu tak mahu kena buat juga. Syukurlah ada teman yang sudi memberikan idea, siap angkat laptop bawa ke bilik kawan. Di depan dah tersedia air mineral sebotol, maruku dan keropok bawang. Ingatkan sambil makan dan minum bolehlah keluar idea membuak-buak ni tapi makin lama mata mula mengantuk. Kawan pula duduk dekat sebelah sambil baca buku undang-undang sempat juga memberi komen dan pandangan. Aku pula asyik baca teks ucapan yang baru sekerat nak siap... emm..sambil berkata sendiri " Kita tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan ekonomi luar, kita seharusnya bangun dan sedar tentang hal ini, oleh yang demikian Kelab Usahawan inilah sebagai.......?? sebagai apa yer?? sempat lagi bertanya dengan kawan....sebagai...sebagai... yess!!! sebagai permulaan atau perintis kepada perubahan revolusi generasi akan datang khususnya pelajar Fakulti Pengajian Islam ke arah memartabatkan ekonomi Islam.
Lama juga memikirkan perkataan apa yang paling sesuai untuk menyambung ayat ini. Tak tau sesuai atau tidak yang penting siap. Nampak sangat malas berfikir. Terselit juga dihati inilah aku antara mahasiswa yang malas berfikir. Tapi untuk menyiapkan 2 teks ucapan ni, tetap tak patah hati dan terus berfikir walaupun nampak lembab sikit. Entah jam berapa baru lah berangkat balik ke bilik sendiri. Tu pun belum siap sepenuhnya.
Seawal Subuh dah tersentak dari mimpi indah, selesai tugas yang paling utama. Menghamparkan rasa kehambaan dan kecintaan kepada Yang Esa. Mula lah menyambung kerja yang belum selesai. Masih dengan teks ucapan. Abaikan dulu hal lain yang pentingnya tugas ni mesti disiapkan. Tak sangka pula idea pula mencurah-curah di awal pagi. Alhamdulillah, siap juga akhirnya teks ucapan ni.
Bila difikir-fikirkan balik, sememangnya bukan mudah untuk mencetuskan idea. Apalagi kerja atau tugasan itu bukan bidang kita. Walaupun begitu, satu pengalaman baru yang diperolehi daripada apa yang telah diusahakan. Apabila hasil yang sedikit dari kerja yang sedikit bila diusahakan bersungguh-sungguh akan membuahkan rasa kepuasan dalam diri. Walaupun tak seberapa tapi natijahnya kita menggunakan akal ini untuk berfikir dan menerokai bidang yang baru.

Tuesday, July 21, 2009

Amanah yang ditakhlifkan

Jawatan yang disandang bukan untuk dibanggakan atau dimegahkan kepada semua orang. Bukan jua kehendak atau kemahuan sendiri untuk menjadi orang yang berkuasa. sama sekali tidak terfikir kearah itu. Ada juga teman-teman yang menyapa "Eh! busy nya...ye la..besa lah orang penting kan..." dah selalu sangat mendengar perkataan itu. Tapi tak marah pun, kecik hati pun rasanya tak..kerana bukan itu yang kita cari sepanjang memegang jawatan dalam kelab, persatuan atau mana-mana pun. Kalau diikutkan hati, tak nak lah menyibukkan diri dengan macam-macam jawatan banyak lagi yang lebih penting dari itu, study dan assignment berlambak langsung tak buat lagi...tapi bila amanah itu dah ditakhlifkan kepada kita, sememangnya sudah menjadi tanggungjawab untuk kita menjalankannya.

Seringkali terdetik dalam hati, sedikit keluhan.."huhhh..malasnya, penatnya, letih...banyak kerja.. dan macam-macam lagi". Bila dah mula berfikir jauh, mulalah fikir yang bukan-bukan..rasa susah, rasa disusahkan dan menyusahkan. Hish..apalah fikiran macam tu. Cepat-cepat istghfar..(Astaghfirullahalazim..)

Tak sedar lagi kah kedudukan kita dimana? Tugas dan jawatan hanya sekecil amanah yang disandarkan kepada kita. walau insan biasa sekalipun, kita sebenarnya telah ditakhlifkan dengan macam-macam lagi amanah. Amanah sebagai Muslim, amanah sebagai hambaNya, amanah sebagai anak, amanah sebagai pelajar dan macam-macam lagi amanah yang hendak ditunaikan.

Andai amanah ini tidak ditunaikan dengan sebaik mungkin, adakah kita manusia yang terbaik untuk dijadikan contoh kepada orang lain? terlalu takut bila amanah yang diberikan tidak dapat diaksanakan sebaik mungkin. bukan sahaja dipersoalkan oleh masyarakat tetapi akan diperhitungkan oleh Allah swt di akhirat kelak.

Aku mula menulis...

Niat untuk sign up dalam blogspot.com ni memang dah lama tersimpan dalam hati, tapi tak kesampaian sehinggalah hari ini seingat aku dalam bulan Islam dah masuk 28 Rejab. Semalam 27 Rejab..ingat lagi Israk Mikraj. Untuk permulaannya, tidak ada idea yang tercetus di minda yang buntu ini apatah lagi berfikir lebih jauh lagi apa yang boleh dikongsikan dalam ruangan ini.

Bila memikirkan banyak manfaat yang boleh diperolehi apabila mewujudkan blogs sendiri apalagi ilmu, pengalaman, pengetahuan boleh dikongsi bersama dengan orang lain. Kita juga boleh menyajikan bahan yang berbentuk idea, pendapat mahupun komen kepada sesiapa sahaja.

Bukan lah diri ini yang terbaik untuk memberi tinta ilmu tetapi dengan adanya blogs ini akan dapat membantu diri sendiri untuk menerokai alam maya dan sedikit sebanyak dapat berkongsi cetusan idea dengan yang lain. Yang penting ruang sebegini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Insyaallah...

Buat Renungan Bersama

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya"
(Surah al-Isra: 16-17)