BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Info semasa

SALAM UKHWAH MAHABBAH FILLAH

Wednesday, September 30, 2009

Bahang Raya di bulan Ramadhan

Lagu “Selamat Hari Raya” berkumandang di mana-mana. Biarpun lagu tu dicipta sejak aku kecil lagi, tapi sampai sekarang lagu tu tak pernah lapuk dek zaman…



Belum pun raya, Ramadhan masih berlabuh di bulan mulia tapi bahang hari raya dah terasa. Aku juga tak ketinggalan menghangatkan suasana raya bila sempat juga berjalan-jalan ke Jalan Tun Abdul Rahman dekat KL untuk membeli sepasang baju raya..


Mula-mula terfikir nak beli jubah, seluruh kedai di lorong itu semuanya kami geledah semata-mata mencari mencari baju raya yang berkenan di hati. Sambil berjalan-jalan, mata tak pernah terhenti memandang setiap kedai dan gerai. Tiba-tiba dengar suara dihujung jalan itu…

“Beli-beli..tudung ekin, tudung siti semua ada…” wah..meriahnya bila tengok jurujual lelaki itu mempromosi segala jenis tudung yang dijual.

“Siapa nak tudung Siti, jumpa saya…” mai..mai…siti ada, ekin ada…macam-macam pun ada.. Geli hati juga bila dengar siap dengan pembesar suara lagi, sempat menyelit di celah-celah orang yang ramai, bukan nak beli tudung tapi terheran dan terpelik dengan keadaan seperti itu.

Tergeli hati pun ada juga..bila melihat beberapa jurujual lelaki yang menjual tudung itu lengkap memakai tudung dengan stokin lengan lagi. Sempat juga minta izin untuk mengambil gambar jurujual tu. Ingatkan aku seorang je yang ambil gambar, rupa-rupanya wartawan Sinar Harian juga tak ketinggalan untuk merakamkan suasana ini. Sungguh meriah! Memang bahang nak raya sudahpun bermula.

Mula berfikir…terpegun bila melihat kesungguhan jurujual lelaki itu menjual. Memang sungguh laris. Golongan wanita berpusu-pusu tak terkira, yang bertudung ada..yang tak bertudung pun ada juga. Bila fikir-fikir..terbayang di minda dan persoalan mula bermain difikiran. Seandainya promosi menjual tudung itu diselitkan sedikit unsur “Islamic” mungkin promosi tadi lebih hebat lagi dan memberi sedikit kesan di hati pembeli atau para pengunjung gerai. Kenapa tidak diselitkan sedikit kata-kata yang menggambarkan “Kenapa mesti bertudung”?
Seandainya kata-kata promosi itu di tambah lagi.. ”beli..beli...mai sini, tudung ekin ada, tudung siti ada...tutup rambut, tutup kepala, tutup aurat...mesti cantik punya..” Kalau ditambah seperti itu, adakah semua pelanggan akan lari atau tak nak datang. Model Lelaki bertudung dah cukup hebat..kalau diperhebatkan lagi dengan kata-kata power pasti lagilah hebat. Tapi mungkin itulah tujuan bisness semata-mata.

Sama lah dengan jual tudung tapi tak bertudung...pastinya mata-mata yang pertama kali memandang dengan sedikit kesedaran pasti rasa pelik lagi dengan keadaan seperti itu.
Samalah juga...semuanya semata-mata bisness. Allahu'alam..Mungkin perlu ada orang yang menyampai dan memberitahu apa yang sepatutnya. Mungkin juga dah tau tapi buat tak tahu. Yang penting untung...itulah fikrah yang lumrah dalam kehidupan manusia biasa yang membiasakan keadaan sebegitu.

Sebagai insan kerdil yang belajar dan menyingkap kejahilan dengan ilmu, yang biasa tidak akan dibiasakan melainkan mewujudkan yang biasa kepada yang luar biasa. Mungkin kita sama sahaja tapi adakah kita akan samakan diri kita dengan orang lain dalam semua hal.. mungkin sesuatu yang hebat lagi mampu kita cipta, apalagi dalam mempromosikan mesej dan imej Islam yang sebenar kepada yang lain. Walaupun rasa tidak layak untuk memperbaiki orang lain kerana sedar dan merasakan diri tidak baik tapi itu bukan alasan untuk "menyampaikan dan memberitahu ". Sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat". (Riwayat al-Bukhari). Itulah tuntutan yang sebenarnya.
Aku kerja Polis kerja tangkap orang salah, aku kerja Jururawat dan Doktor kena rawat orang di hospital, aku Cikgu Bahasa Melayu mengajar di sekolah rendah, aku Bisness kecil-kecilan..aku Menteri, aku Pegawai, ala.....aku Kerani jerr....gaji tak tinggi pun. Alasan yang kononnya menjadi sebab sebenarnya bukan penghalang untuk terus menyampaikan "amar makruf nahi mungkar" kerana sebagai muslim kita telah ditakhlifkan dengan amanah. “Sesungguhnya kalian adalah pemimpin , dan setiap kalian akan ditanya tentang kepemimpinannya” ( Bukhari, Muslim ).


Adakah aku hanya penjual ikan tidak boleh menyampaikan tentang Islam?? Apalagi aku yang dulunya belajar dan mengaji sampai dapat sijil Pengajian Islam dan Dakwah..bila dah jadi Pegawai Tanah hanya sampaikan pasal tanah sahaja. Apa ada sijil, diploma, degree, master, Phd kalau tak menyampaikan tentang Islam walaupun satu ayat? Ramai orang berilmu sampai 10 phd sekalipun tapi belum tentu boleh jadi ulama dan belum tentu berani menyampaikan kebenaran. Memang tersentak juga dengan kata-kata pensyarah aku itu. Walaupun berpangkat Professor dan bukan bidang pengajian Islam tambahan lagi seorang berbangsa cina tapi setiap kata-katanya begitu penuh makna membuatkan aku selalu tersentak dari lamunan. Di manakah pula kedudukan kita???

Thursday, September 3, 2009

Kerja Siapa??


Ketika sedang asyik berbincang dengan rakan-rakan di meja dekat dengan dewan kuliah, tetiba kawan di sebelah menyapa bila melihat dua orang pelajar melalui depan mereka. Eh!! Beraninya pakai pakaian macam tu, tak apa kalau bukan student pengajian Islam..ni budak yang belajar hukum hakam pula tu. Semua yang berkumpul di situ menoleh ke arah pelajar perempuan berbaju kurung yang memakai tudung hanya atas paras dada. Sungguh menampakkan sekali.

Sahabat yang sejak tadi merenung dari jauh pula berkata “pelik juga…dah belajar hukum hakam ni, selamba jer.., aku ni bukanlah baik sangat tapi taklah suka tengok dan tak berkenan macam tu”

“Haa..siapa yang Dakwah tu kena bagi tarbiah sikit kat dorang tu.” Seorang kawan tu pula bersuara.

Kawan seorang pula menyahut “Laa…siapa yang Nampak kemungkaran, dial ah dulu yang kena tegur”

Seorang pula “ish..ish…nak tegur tapi aku pun lebih kurang juga, engkau la ambil dakwah..bagi tarbiah sikit”

“Kan baik letak sign board depan ni “Sila berpakaian sopan ke.., sila tutup aurat ke..whatever lah...yang penting nampaklah juga peringatan” kata seorang kawan.

Masing-masing meletakkan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran tu ke atas bahu yang layak. Apalagi yang ambil bidang dakwah. Semuanya menunding jari kepada yang ambil dakwah. Bagi yang ambil bidang Syariah, Usuluddin, Quran Sunnah dan lain-lain kos mengasingkan diri dari tanggungjawab tersebut. Tugas menegur dan memperbetulkan segala kemungkaran itu diletakkan kepada golongan pendakwah sahaja. Tetapi bukan lah semua berfikiran seperti itu. Cuma sesetengah orang berfikiran sedemikian.

Sebenarnya, Dakwah merupakan salah satu daripada kewajipan di dalam agama Islam yang sepatutnya tidak boleh dialpakan oleh setiap muslim. Ada tanggapan bahawa dakwah hanya perlu dimainkan oleh golongan tertentu sahaja daripada umat Islam. mereka meletakkan kewajipan dakwah ini kepada agamawan sahaja. Ulama, guru-guru agama sahaja yang dilihat sebagai berperanan dalam bidang ini. Manakala selain dari golongan itu seolah-olah terlepas daripada kewajipan ini. Sedangkan Islam telah mengangkat dakwah itu ke satu mercu yang amat tinggi yang perlu digapai oleh setiap Muslim yang peka terhadap permasalahan umat lalu dijanjikan dengan balasan yang sangat tinggi bagi mereka yang terlibat dengannya. Inilah juga tugas asasi bagi setiap rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di muka bumi ini dengan membawa ajaran Islam agar ia dipraktikkan dan dijadikan sebagai suatu cara hidup di semua peringkat kehidupan sama ada bagi individu, masyarakat, negara, malah seluruh ala mini sesuai dengan sifat Islam itu sendiri yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Keperibadian Pendakwah

Kerja-kerja Islam terutamanya dalam bidang dakwah ini banyak bergantung kepada penampilan pendakwah itu sendiri. Kita akui bahawa kejayaan sesuatu dakwah adalah di dalam ketentuan Allah SWT, namun begitu kita perlu berusaha mengambil semaksimum mungkin segala sebab yang boleh membawa kepada kejayaan yang diimpikan. Kita sedia maklum bahawa dakwah itu terbahagi kepada dua iaitu dakwah bil-maqal (dengan perkataan/ucapan) dan dakwah bil-hal (dengan tindakan/ perbuatan). Dalam kedua-dua jenis dakwah ini kadang-kadang dakwah bil-hal lebih berkesan berbanding dakwah bil-maqal kerana sesetengah orang lebih tertarik kepada apa yang dibuat, bukan apa yang dicakap. Justeru itulah pendakwah yang Berjaya semestinyalah memiliki keperibadian Islam yang unggul.

Isu utama dalam keperibadian Islam yang perlu sentiasa diingati oleh para du’at ialah berjaga-jaga terhadap maksiat. Sikap berjaga-jaga terhadap maksiat perlulah mengatasi sikap berhati-hati mereka terhadap musuh mereka sendiri kerana maksiat adalah musuh tersembunyi yang akan menggagalkan usaha murni kita.

Justeru bagi membentuk keperibadian Islam ini, pendakwah perlu memastikan mereka mempunyai cirri-ciri berikut :

Pemikiran Islam

Pendakwah mesti mempunyai pemikiran Islam atau disebut sebagai Aqliah Islamiah. Maksudnya mereka mesti melihat segala sesuatu dari sudut pandangan Islam dan memutuskan sesuatu perkara juga berdasarkan kepada pandangan Islam. Islam mesti dilihat sebagai neraca bagi setiap isu dan penyelesai bagi setiap masalah.

Jiwa Islam

Apa yang dimaksudkan dengan jiwa Islam ialah hasil yang diperolehi daripada pemikiran Islam seseorang itu yang mempengaruhi perilakunya. Ini bermakna seseorang yang mempunyai pemikiran Islam, kecenderungannya dan naluri jiwanya juga akan terarah kepada kehendak ajaran Islam yang suci. Boleh juga kita sebutkan bahawa jiwa Islam ini adalah pelaksanaan nilai-nilai Islam berdasarkan kepada kerangka pemikiran Islam yang dimilikinya dan disampaikannya kepada golongan yang didakwahkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak melakukannya?

Jiwa Islam juga adalah sebagai bukti keimanan seseorang kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Iman itu bukanlah dengan hanya berangan-angan atau perhiasan (cara berpakaian), tetapi iman adalah sesuatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan oleh amalan”.

Sifat-sifat pendakwah

Memiliki sifat-sifat dan perkara-perkara asas yang wajib dimiliki oleh pendakwah, antaranya :
  • Niat yang ikhlas kerana Allah SWT dalam menjalankan kerja dakwah.
  • Dakwah secara hikmah, nasihat yang baik dan berdebat dengan cara baik.
  • Mempunyai pengetahuan tentang masyarakat yang ingin disampaikan dakwah seperti ideologi mereka dan isu setempat.
  • Mempelajari Sirah Nabawiyyah dan ajaran Islam.
  • Menghafaz sebahagian ayat-ayat al-Quran mengikut kemampuan sebagai dalil atau hujah terhadap apa yang diperkatakan.

Pendakwah perlu sedar bahawa kepetahan bicara lisan semata-mata bukan kekuatan utama dalam menentukan kejayaan sesuatu dakwah. Justeru itu gabungan ilmu, iman dan amal dalam menggerakkan mesej dakwah Islamiah ini amat dituntut bagi mencapai kejayaan gemilang.
Semoga dengan pemahaman mengenai kewajipan ini dapat diambil iktibar bersama dalam meneruskan usaha dakwah kita. Mudah-mudahan usaha yang sedikit diberkati Allah SWT hendaknya. Amiin...


Buat Renungan Bersama

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya"
(Surah al-Isra: 16-17)